MOH Press Release
Pemantauan kualiti air minum bekalan air awam merupakan aktiviti utama Unit Kawalan Mutu Air Minum (KMAM), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah mula diimplementasi sejak tahun 1987 yang melibatkan 3 loji rawatan air yang membekalkan air kepada 99,562 penduduk W.P. Labuan. Aktiviti pemantauan air minum adalah berdasarkan kepada standard yang telah ditetapkan oleh National Standard for Drinking Water Quality (Edisi 2004). Pada masa ini, 1 loji rawatan air dikendalikan oleh pihak swasta iaitu Tegap Maintance Sdn. Bhd. dan selebihnya adalah di bawah pengawalan Jabatan Bekalan Air Labuan. Program tersebut melibatkan pengawasan 3 buah stesen air mentah dan 23 buah stesen persampelan di seluruh Labuan. Agensi lain yang turut terlibat dalam program ini adalah Jabatan Kimia Malaysia yang bertanggungjawab menjalankan analisis kimia dan bakteriologi sampel air.
Melalui program ini, kakitangan Kesihatan Awam dan Kerja-kerja air akan dimaklumkan dengan segera sekirannya berlaku perlanggaran terhadap mutu air minum dan bersedia untuk mengambil langkah pemulihan untuk mengelakkan berlakunya wabak penyakit dan keracunan. Maka itu, Unit KMAM memainkan peranan penting dalam aktiviti pengawasan kualiti mutu air minum negeri ini.
Elemen-elemen Program
Elemen-elemen penting program seksyen KMAM adalah pengawasan, kajian kebersihan, pemprosesan dan analisis data, tindakan pemulihan dan pemeriksaan institusi
Pengawasan
Sampel air diambil pada setiap minggu di stesen-stesen persampelan yang telah dikenalpasti. Kekerapan pengambilan sampel adalah berdasarkan National Standard for Drinking Water Quality (NSDWQ), Edisi 2, 2004 yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan (BPK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pemantauan dijalankan di sepanjang rangkaian air iaitu daripada muka sauk sehinggalah kepada pengguna.
Kajian Kebersihan
Selain daripada pemantauan bekalan air awam, kajian kebersihan adalah satu elemen penting dalam program KMAM. Kajian kebersihan adalah satu aktiviti untuk mengenalpasti risiko-risiko pencemaran di kawasan tadahan, loji rawatan air dan sepanjang rangkaian paip pengguna yang boleh mengakibatkan kemerosotan kualiti air terawat seterus secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan pengguna. Walau bagaimanapun aktiviti Kajian kebersihan tidak dapat dijalankan kerana pegawai yang bertugas belum menerima latihan bagi aktiviti tersebut.
Pemprosesan dan Analisis Data
Data-data pengawasan kualiti air disimpan pada peringkat daerah yang juga peringkat negeri. Pengurusan data kualiti air pada masa ini dilakukan dengan menggunakan perisian Water Quality Software (WQS) bermula tahun 2008 menggantikan perisian lama sebelum ini. Pengisian data dijalankan di peringkat daerah juga merupakan data peringkat negeri. Data-data disemak jika terdapat sebarang kesilapan dan pembetulan sebelum dimuat turun ke server Seksyen KMAM, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM.
Tindakan Pemulihan
Apabila pelanggaran kualiti air dikesan, tindakan pemulihan akan dilakukan dengan segera. Pihak pembekal air akan dimaklumkan agar tindakan pemulihan dapat dijalankan untuk memastikan kualiti air di tahap yang dibenarkan oleh KKM.
PENGENALAN
Unit Promosi Kesihatan beroperasi di bawah Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan WP Labuan. Unit ini bertanggungjawab terhadap perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan penilaian program pendidikan kesihatan sebagai program khusus disamping memberi sokongan dalam aspek pendidikan kesihatan untuk semua program kesihatan di Jabatan Kesihatan.
Unit Promosi Kesihatan diwujudkan untuk mengintegrasikan komponen pendidikan kesihatan di dalam program-program lain di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Unit ini berperanan penting dalam meningkatkan tahap pengetahuan, perubahan sikap dan pengamalan tingkahlaku yang sihat dengan tujuan supaya dapat memperbaiki tahap kesihatan diri, keluarga dan masyarakat melalui daya usaha masyarakat sendiri.
Aktiviti Promosi Kesihatan dilaksanakan di semua program dan unit-unit di Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan dengan nasihat kepakaran dari unit ini.
OBJEKTIF
Objektif utama Unit Promosi Kesihatan adalah mencapai perubahan pengetahuan, sikap dan tingkahlaku untuk tujuan meningkatkan kesihatan individu, keluarga dan masyarakat menerusi daya usaha sendiri dengan :-
-
Menanam minat di kalangan masyarakat terhadap kepentingan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat
-
Meningkatkan kesedaran tentang langkah-langkah pencegahan penyakit dan memupuk sikap bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri
-
Meningkatkan kesedaran tentang kemudahan-kemudahan kesihatan yang ada dan menggalakkan penggunaan kemudahan tersebut
-
Meningkatkan iktizam terhadap kesihatan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat
PENGENALAN
Seksyen Pemakanan merupakan seksyan di bawah Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Kumpulan sasar bagi aktiviti pemakanan adalah selari dengan kumpulan sasar bagi Perkhidmatan Kesihatan Keluarga. Aktiviti pemakanan boleh dibahagikan kepada tiga bidang utama iaitu pengawasan, pemulihan dan promosi pemakanan.
Program Pengawasan bertujuan untuk memantau taraf pemakanan bagi kategori yang telah ditetapkan. Program pemulihan meningkatkan dan memperbaiki taraf pemakanan masyarakat yang mengalami kekurangan dan berlebihan zat makanan. Program promosi pula bertujuan meningkatkan pengetahuan tentang pemakanan agar dapat menyumbang kepada perubahan cara gaya hidup yang lebih sihat.
OBJEKTIF UMUM
Untuk mencapai dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan yang optimum di kalangan penduduk Wilayah Persekutuan Labuan.
OBJEKTIF KHUSUS
- Meningkatkan amalan penyusuan susu ibu dan pemberian makanan pelengkap
- Meningkatkan amalan pengambilan makanan dan pemakanan yang baik
- Mengurangkan masalah kekurangan Protein-Tenaga
- Mengurangkan masalah mikronutrien
- Mengurangkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti
- Pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit berkaitan dengan pemakanan





