BAHAGIAN PERKHIDMATAN FARMASI
- Profil
- Perkhidmatan Farmasi
PENGENALAN
Bahagian Perkhidmatan Farmasi W.P. Labuan merupakan penyelaras program farmasi di Jabatan Kesihatan W.P. Labuan. Bahagian ini memainkan peranan untuk memastikan bahan-bahan farmaseutikal dan penjagaan rawatan ubat yang diberikan adalah selamat, berkesan dan berkualiti untuk orang awam.
Bahagian Perkhidmatan Farmasi W.P. Labuan merangkumi tiga aktiviti utama iaitu:
- Bahagian Pengurusan Perkhidmatan Farmasi
- Cawangan Amalan & Perkembangan Farmasi
- Cawangan Penguatkuasa Farmasi
VISI
Menerajui pengurusan berkualiti ke atas produk-produk farmaseutikal melalui tenaga kerja yang cekap dan profesional, sains dan teknologi yang bersesuaian dan perkongsian maklumat dengan semua pihak yang berkepentingan.
MISI
Memastikan semua warga Malaysia memperoleh produk farmaseutikal dan produk pemelihara kesihatan yang berkualiti, selamat dan berkesan termasuklah nasihat mengenai penggunaannya secara rasional.
OBJEKTIF
- Memastikan bahawa pesakit-pesakit yang menerima rawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia memperoleh perkhidmatan Farmasi berkonsepkan ‘Total Pharmaceutical Care’.
- Memastikan pendidikan orang awam terhadap penggunaan ubat-ubatan secara rasional ditingkatkan.
- Memastikan keluaran farmaseutikal dan produk-produk penjagaan kesihatan adalah berkualiti, selamat, berkesan dan mampu serta mudah diperolehi oleh orang awam termasuk nasihat penggunaan yang rasional.
- Menentukan bahawa pengilangan, pengimportan, penjualan, pengedaran, pengurusan dan kegunaan farmaseutikal, kosmetik dan produk pemelihara kesihatan dilaksanakan selaras dengan perundangan Farmasi yang berkuatkuasa dalam negara.
Cawangan Amalan & Perkembangan Farmasi
OBJEKTIF
Untuk memastikan keperolehan dan penggunaan ubat-ubatan yang berkualiti melalui amalan farmasi yang berkesan bagi mempertingkatkan perkhidmatan farmasi di Malaysia supaya setanding dengan kemajuan perkembangan perkhidmatan farmasi di negara-negara maju.
Tugas-tugas Utama:
- Merancang, membangun, mengawal dan menyelaras aktiviti-aktiviti program Farmasi di Hospital dan Klinik Kesihatan kerajaan di W.P. Labuan ke arah penambahbaikan perkhidmatan berterusan.
- Memantau pelaksanaan aktiviti-aktiviti farmasi di Hospital dan Klinik Kesihatan kerajaan W.P. Labuan seperti Farmasi Ambulatori, Farmasi Pesakit Dalam, Farmasi Klinikal, Kaunseling (MTAC) dan sebagainya melalui pengumpulan data-data secara berkala.
- Menyelaras Audit Dalaman Amalan Farmasi dan aktiviti-aktiviti penyeliaan ke atas fasiliti farmasi di Hospital dan Klinik Kesihatan.
- Memperkukuhkan aspek keselamatan pengubatan pesakit melalui perkhidmatan Farmasi Klinikal Farmakokinetik, pelaporan kesan advers ubat dan kesilapan pengubatan.
- Mempromosikan kesedaran penggunaan ubat secara berkualiti dan rasional.
- Memastikan bekalan ubat-ubatan berjalan lancar melalui aktiviti pengurusan stor dan kewangan yang mantap.
- Memantau penggunaan ubat-ubatan di Hospital dan Klinik Kesihatan kerajaan di W.P. Labuan.
Cawangan Penguatkuasa Farmasi
OBJEKTIF
Memastikan semua keluaran farmaseutikal dan produk penjagaan kesihatan yang berada di pasaran adalah berkualiti, selamat, berkesan dan iklan ubat dan perkhidmatan perubatan mematuhi akta-akta dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dan juga meningkatkan kesedaran pengguna ke atas penggunaan ubat yang berdaftar.
AKTIVITI UTAMA
Perlesenan
Unit Pelesenan bertanggungjawab memproses Lesen Racun Jenis A/B/E dan Permit NaOH di bawah Akta Racun 1952.
Pemeriksaan
Pemeriksaan premis dijalankan bagi tujuan pengeluaran lesen racun ke atas premis farmasi dan premis yang mengendalikan bahan kimia terkawal bagi tujuan kegunaan industri.
Ia dijalankan bagi memastikan kepatuhan setiap pemegang lesen terhadap syarat-syarat lesen racun di bawah Akta Racun 1952.
Pemeriksaan juga dijalankan ke atas premis berdaftar iaitu klinik-klinik dan hospital swasta bagi memastikan pengendalian racun dilaksanakan mengikut keperluan undang-undang
dan tiada penjualan atau pembekalan racun berjadual oleh individu yang tidak berkelayakan. Selain itu, pemeriksaan premis tidak berlesen seperti kedai-kedai ubat tradisional
Cina, Melayu dan India; kedai runcit, gerai-gerai, pasar malam, premis jualan langsung dan salun-salun kecantikan juga dijalankan bagi memastikan semua keluaran-keluaran kesihatan
yang dijual atau dibekal adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan pengguna.
Pemeriksaan Di Pintu Masuk
Pemeriksaan terhadap pengimportan ubat-ubatan, kosmetik dan bahan kimia dijalankan oleh Cawangan-cawangan Penguatkuasa Farmasi W.P. Labuan di pintu masuk utama. Saringan pengimportan dijalankan bukan sahaja melalui kargo tetapi juga terhadap pengimportan sama ada di luar atau dalam Negara melalui pos atau agen kurier dan juga bagasi penumpang.
Perlindungan Pengguna
Unit Perlindungan Pengguna bertanggungjawab untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan penggunaan ubat-ubatan dan produk-produk farmaseutikal yang berkualiti dan selamat. Unit ini juga bertanggungjawab dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan risiko penggunaan ubat tradisional yang tidak berdaftar dan dicemarpalsu. Bagi tujuan itu, dua aktiviti utama iaitu pameran dan sesi ceramah dan dialog telah dijalankan di samping pelbagai program seperti pengedaran risalah serta kalender berinformasi kepada jabatan kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, peniaga dan pemegang lesen/permit.
Kawalan Iklan
Selaras dengan perkembangan teknologi, masyarakat kini boleh menerima maklumat melalui pelbagai sumber media massa. Pengiklanan pelbagai produk tidak berdaftar dan mengandungi bahan racun berjadual semakin banyak didapati dalam majalah-majalah, akhbar, televisyen, radio dan internet. Cawangan Penguatkuasa Farmasi berperanan memantau pengiklanan ubat dan barangan farmaseutikal selaras dengan peruntukan dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.
Risikan Dan Operasi
Unit ini bertanggungjawab menyiasat dan mengesahkan setiap aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai. Pengesahan aduan dibuat bagi memastikan maklumat adalah tepat
dan sesuai untuk operasi serbuan.
Serbuan dilakukan ke atas premis perniagaan ubat tradisional, kedai ubat, kedai runcit, gerai-gerai dan salun kecantikan serta rumah kediaman
yang didapati menjalankan penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar termasuk produk kesihatan dan kecantikan.
Siasatan Dan Pendakwaan
Penyiasatan adalah satu proses mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh orang kena siasat (OKS) sehingga ke peringkat pendakwaan. Ia melibatkan pengumpulan
maklumat yang relevan daripada agensi lain seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Perubatan Malaysia, Telekom Malaysia, Jabatan
Polis, Jabatan Imigresen dan lain-lain agensi yang berkaitan.
Hasil daripada penyiasatan yang menyeluruh, mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang yang
dikuatkuasakan akan didakwa di mahkamah mengikut kesalahan yang dilakukan. Pegawai farmasi yang dilantik menjadi pegawai pendakwa bertanggungjawab membawa kes ke mahkamah bagi membuktikan
kes ke atas orang yang didakwa.
Pengurusan Perkhidmatan Farmasi
OBJEKTIF
Untuk memastikan perancangan strategik dan dasar perkhidmatan farmasi dilaksanakan mengikut sasaran yang ditetapkan, pengagihan sumber manusia mengikut keperluan, pembangunan modal insan yang relevan dan berterusan, penerapan dan pengamalan sistem pengurusan kualiti yang berterusan dalam perkhidmatan farmasi, serta memastikan urusan pentadbiran dan kewangan yang mantap dilakukan mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
Tugas-tugas Utama:
- Mengurus penyampaian maklumat dasar berkaitan perkhidmatan yang ditetapkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Menyelaras dan memantau perkara berkaitan kualiti/ inovasi dalam perkhidmatan farmasi.
- Mengenalpasti, merancang dan mengkoordinasi program berkaitan latihan dan Continuous Professional Development (CPD) untuk anggota perkhidmatan farmasi negeri.
- Mengurus keperluan sumber manusia dalam perkhidmatan farmasi termasuk penjawatan, penempatan dan pertukaran Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi.
- Mengendalikan aduan berkaitan perkhidmatan farmasi.
- Memantau pelaksanaan dasar-dasar yang ditetapkan dan masalah-masalah yang timbul berkaitan pengurusan farmasi di fasiliti farmasi hospital dan klinik kesihatan di W.P. Labuan.