Menu
 

BAHAGIAN PERKHIDMATAN FARMASI

Apakah itu Perkhidmatan Tambah Nilai (Value Added Services - VAS) bagi perkhidmatan farmasi?

Perkhidmatan Tambah Nilai( VAS) adalah salah satu inisiatif Jabatan Farmasi untuk memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan mereka di mana-mana farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang berdekatan dengan tempat kediaman atau tidak perlu menunggu lama di kaunter farmasi.

 

Antara perkhidmatan tambah nilai yang ditawarkan di Jabatan Farmasi Hospital Labuan dan Klinik Kesihatan Labuan adalah Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB), Sistem Kad Temu Janji, Sistem Telefon dan Ambil, Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M).

 

Bagaimana saya boleh mendapat Perkhidmatan Tambah Nilai (Value Added Services -VAS) perkhidmatan farmasi?

Sila merujuk kepada Pegawai yang bertugas di kaunter farmasi tentang perkhidmatan tambah nilai yang ditawarkan.

 

Apakah itu Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)?

Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) adalah satu kaedah rujukan yang seragam dan teratur bagi pembekalan ubat susulan di mana pesakit boleh mengambil bekalan ubat susulan mereka di mana-mana fasiliti kesihatan KKM yang tersenarai dalam Direktori SPUB KKM mengikut pilihan pesakit.

 

Apakah itu Perkhidmatan Ubat Melalui Pos1Malaysia (UMP1M)?

Perkhidmatan penghantaran Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M) merupakan perkhidmatan pembekalan ubat susulan terus ke lokasi pilihan pesakit melalui PosLaju dengan caj kiriman yang telah ditetapkan. Penghantaran ubat menggunakan perkhidmatan PosLaju adalah tertakluk di dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan PosLaju. Caj kiriman adalah ditanggung oleh pesakit mengikut destinasi ubat yang dihantar.

 

Apakah itu Sistem Telefon dan Ambil?

Perkhidmatan Telefon dan Ambil membolehkan pesakit mengambil bekalan ubat susulan tanpa perlu beratur atau menunggu lama. Pesakit perlu berdaftar dengan pihak farmasi terlebih dahulu. Seterusnya, pesakit hanya perlu menelefon ke farmasi memaklumkan butiran pesakit beserta tarikh dan masa yang diingini sebelum datang mengambil ubat.

 

Apakah Sistem Kad Temu Janji?

Perkhidmatan Kad Temu Janji membolehkan pesakit datang ke kaunter farmasi mengikut tarikh pada kad temujanji yang dikeluarkan oleh pihak farmasi dan mengambil bekalan ubat susulan yang telah disediakan awal tanpa perlu beratur atau menunggu lama. Pesakit perlu berdaftar sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut.

 

Apakah maksudnya ubat terkawal dan ubat am (Over-the Counter – OTC)?

Ubat-ubatan boleh dikategorikan dalam 2 jenis, iaitu Ubat Terkawal dan Ubat Am.

Ubat Terkawal merupakan ubat yang hanya boleh diperolehi dengan preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat darah tinggi atau ubat kencing manis), manakala Ubat Am merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor (sebagai contoh, ubat suplemen kesihatan atau vitamin).

Pengkelasan ini boleh dikenalpasti berpandukan abjad yang digunakan pada hujung nombor pendaftaran ubat. Abjad A digunakan untuk merujuk kepada ubat terkawal manakala abjad T, X dan N digunakan bagi ubat am.

 

Apakah perbezaan ubat berjenama/ inovator dengan ubat generik?

Ubat berjenama/ inovator atau ubat asal adalah ubat baru yang pertama sekali diperkenalkan dalam pasaran dan dipatenkan oleh syarikat yang menaja/ menemui ubat baru tersebut setelah menjalani pelbagai kajian dan penyelidikan.

Ubat generik pula adalah ubat yang mengandungi bahan aktif yang sama dengan ubat berjenama/ inovator. Bahan aktif adalah bahan kimia yang memberikan kesan pengubatan dalam sesuatu jenis ubat. Dalam erti kata lain, kesan farmakologi ubat generik adalah sama seperti ubat inovator/berjenama. Ubat generik dihasilkan setelah paten sesuatu ubat inovator tamat ataupun apabila sesuatu ubat tidak ada perlindungan paten.

 

Adakah ubat generik selamat dan berkesan jika dibandingkan dengan ubat inovator?

Ya. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) sebagai sekretariat kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) akan memastikan ubat generik yang didaftarkan mempunyai tahap kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang sama dengan ubat inovator.

Ubat generik perlu menjalani dan lulus ujian kesetaraan bio (bio-equivalance) bagi membuktikan bahawa ubat generik tersebut mempunyai ciri-ciri kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang sama dengan ubat inovator. Oleh yang demikian, ubat generik mempunyai keberkesanan dan risiko kesan sampingan yang sama dengan ubat inovator.

 

Kenapa harga ubat generik lebih murah?

Sebenarnya, kos untuk membangunkan sesuatu jenis ubat baru (inovator) memerlukan pelaburan wang yang besar bagi tujuan penyelidikan, pembangunan, pemasaran dan promosi ubat tersebut.

Penghasilan ubat generik tidak melibatkan kos penyelidikan dan pembangunan dari awal, sebaliknya hanya melalui ujian bio-kesetaraan, maka kos yang dilaburkan adalah jauh lebih rendah berbanding ubat inovator. Apabila terdapat banyak syarikat yang mengeluarkan dan menjualkan ubat generik yang sama, persaingan di antara mereka juga boleh menyumbangkan kepada harga yang lebih murah.

 

Di mana saya perlu menyimpan ubat?

Adalah penting bagi anda untuk menyimpan ubat dengan cara yang betul. Cara penyimpanan ubat yang betul termasuk:

  • Jauhkan ubat dari kanak-kanak
  • Simpan ubat di tempat kering dan jauh dari panas/cahaya matahari.
  • Simpan ubat dalam bekas asal dan pastikan label pada bekas adalah jelas.
  • Jangan simpan kapsul dan tablet di dalam bilik air, berhampiran sinki dapur atau tempat lain yang lembap. Kepanasan atau kelembapan boleh merosakkan ubat.
  • Jangan letakkan kapas di dalam bekas ubat yang telah dibuka kerana ia boleh menyerap udara lembap ke dalam bekas ubat.
  • Jangan simpan ubat dalam peti sejuk kecuali diarahkan.
  • Jangan tinggalkan ubat anda di dalam kenderaan bagi jangka masa yang lama.
  • Jangan simpan ubat yang telah tamat tarikh luput atau tidak diperlukan lagi.

 

Bagaimana cara pembuangan ubat yang sesuai dan dibolehkan?

Ubat yang rosak atau tidak diperlukan lagi perlu dibuang secara sistematik dan selamat. Pembuangan ubat ke dalam sumber air melalui sinki atau tandas boleh menyebabkan kesan pencemaran alam sekitar.

Terdapat 3 Langkah Bijak Dalam Pengendalian Ubat-ubatan Yang Tidak Diperlukan :

  • Langkah 1 : Asingkan ubat-ubatan yang telah melepasi tarikh luput, ubat yang tidak digunakan lagi, ubat yang rosak, berubah bentuk fizikal dan warna serta ubat yang disimpan dalam bekas yang kurang jelas labelnya. Masukkan ubat-ubatan yang telah diasingkan ke dalam bekas yang bersesuaian contohnya kotak atau beg kertas.
  • Langkah 2 : Pulangkan ubat-ubat tersebut ke farmasi hospital dan klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran agar pelupusan ubat boleh dilakukan dengan cara yang betul.
  • Langkah3 : Syorkan kepada saudara mara, kawan serta jiran anda berkenaan program pemulangan ubat ini.

 

Apakah itu kesan advers ubat?

Rujuk kepada ahli farmasi atau doktor anda dengan segera. Sila bawa bersama-sama semua ubat yang anda ambil untuk pengesahan. Ahli farmasi atau doktor anda akan melaporkan kesan advers itu kepada pihak berkuasa.

 

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya mengalami kesan advers ubat?

Rujuk kepada ahli farmasi atau doktor anda dengan segera. Sila bawa bersama-sama semua ubat yang anda ambil untuk pengesahan. Ahli farmasi atau doktor anda akan melaporkan kesan advers itu kepada pihak berkuasa.

 

Apakah itu Kerintangan Antibiotik?

Kerintangan Antibiotik adalah satu keadaan apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan antibiotik hilang keupayaan untuk membunuh bakteria. Oleh itu, antibiotik tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk.

Kerintangan antibiotik terjadi disebabkan oleh penggunaan antibiotik yang berlebihan atau tidak tepat seperti merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus (selesema) atau tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan.

 

Kenapa saya diberikan sebulan bekalan ubat oleh pihak farmasi sedangkan doktor menulis 4 bulan bekalan?

Bekalan sebulan diberikan supaya pegawai farmasi boleh sentiasa memantau tahap kepatuhan pesakit terhadap ubat dan sama ada pesakit mempunyai kesan advers ubat setelah mengambil ubat.

Selain itu, kualiti ubat juga lebih terjamin kerana cara penyimpanan ubat oleh pihak farmasi adalah dengan cara yang betul dan pada suhu yang bersesuaian. Ubat yang disimpan di rumah mungkin cepat rosak jika tidak disimpan dengan cara yang betul.

Ini juga sebagai langkah untuk mengurangkan pembaziran ubat. Didapati sesetengah pesakit mempunyai bekalan ubat yang berlebihan dan tidak digunakan serta akan dibuang apabila dibekalkan ubat melebihi sebulan disebabkan perubahan preskripsi/ ubat oleh doktor, pesakit meninggal dunia dan pesakit tidak serasi dengan ubat.

 

end faq

 

 

 

 

CAWANGAN PENGUATKUASA FARMASI

Apakah itu ubat berdaftar?

Ubat berdaftar adalah ubat yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk ini telah dianalisa dan diuji akan keberkesanan dan keselamatannya. Setiap produk ubat yang telah berdaftar akan diberi nombor pendaftaran dan mestilah dicetak pada labelnya. Contoh nombor pendaftaran produk adalah seperti MAL20022544A.

 

Bagaimana saya boleh menyemak status pendaftaran produk sebelum membeli produk kesihatan?

Sila layari laman web www.pharmacy.gov.my dan pilih “Semakan Pendaftaran Produk”. Semakan bagi pendaftaran produk adalah sah sekiranya keputusan carian muncul pada pangkalan data Quest 2 atau Quest 3.

 

Apakah jenis-jenis lesen yang boleh dipohon di Cawangan Penguatkuasa Farmasi?

  • Lesen Racun Jenis A bagi ahli farmasi
  • Lesen Racun Jenis B bagi syarikat yang import & guna/beli & jual borong (wholesale)
  • Permit Sodium Hidroksida bagi syarikat yang membeli, menyimpan & mengguna Sodium Hidroksida
  • Lesen Racun Jenis E bagi syarikat yang import & guna Sodium Hidroksida sahaja

 

Bilakah borang permohonan pembaharuan lesen boleh dihantar?

Bagi lesen racun jenis A,B, E dan permit NaOH,tempoh sah lesen adalah sehingga 31 Disember tahun semasa. Permohonan pembaharuan hendaklah dihantar sebelum 31 Oktober.

 

Bilakah lesen perlu dibatalkan dan bagaimanakah proses pembatalan lesen?

Pembatalan lesen perlu dibuat jika pelesen bertukar, berhenti atau perubahan nama dan alamat premis atau perubahan pada senarai racun (Lesen Racun Jenis B) dan kuantiti NaOH/bahan psikotropik (Permit Naoh/Permit Psikotropik)

Permohonan pembatalan lesen perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pembatalan lesen berkuatkuasa dan mestilah disertakan lesen asal, Surat permohonan pembatalan lesen dan surat pelepasan dari syarikat.

Sekiranya tiada pengganti,(Contoh: bagi premis farmasi) pelesen perlu menyediakan senarai stok racun dan dikemukakan bersama dengan permohonan pembatalan. Satu pemeriksaan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi akan dilakukan sebelum pembatalan lesen dilakukan.

 

Apakah contoh jenis racun-racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Alta Racun 1952?

  1. Ammonia (5% dan ke atas)
  2. Chloroform (10% dan ke atas)
  3. Fluorides (3% dan ke atas)
  4. Formaldehyde (5% dan ke atas)
  5. Hydrochloric Acid (9% dan ke atas)
  6. Nitric Acid (9% w/w dan ke atas)
  7. Phosphorous
  8. Potassium Hydroxide (12% dan ke atas)
  9. Sodium Hydroxide (12% dan ke atas)
  10. Sulphuric Acid (9% dan ke atas)

 

Bolehkah wakil datang untuk mengambil lesen yang telah siap bagi pihak pemohon?

Boleh tapi dengan syarat wakil perlulah membawa “authorization letter” yang ditandatangani oleh pemegang lesen.

 

Bagaimanakah kosmetik dikawal di Malaysia?

Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dipasarkan. Contoh nombor notifikasi adalah NOT08101562K.

 

Bagaimana untuk mengelak daripada membeli ubat tiruan/ubat palsu?

  • Pastikan anda beli ubat yang berdaftar dengan PBKD yang mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label hologram Meditag
  • Periksa dan baca label pada bungkusan dan kertas sisipannya
  • Berhati-hati dengan ubat yang mempunyai bungkusan dan label yang tidak jelas dan tidak betul
  • Elak beli ubat dari kedai sebarangan
  • Jangan beli ubat yang dijual di tepi jalan, pasar malam/siang atau tamu
  • Tempat terbaik untuk membeli/mendapatkan ubat adalah kedai farmasi, klinik perubatan, atau hospital.

 

Di manakah aduan boleh dibuat jika sesuatu produk tidak berdaftar dijumpai di W.P. Labuan?

Aduan boleh dibuat kepada mana-mana pegawai penguatkuasa farmasi di Cawangan Penguatkuasa Farmasi W.P. Labuan.

 

end faq

 

 

Tarikh Kemaskini : 4 Mac 2016
Go to top