Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan Pergigian
Penjagaan Kesihatan Pergigian Primer
Penjagaan Kesihatan Pergigian Primer ditujukan kepada semua penduduk Labuan di mana golongan sasaran utama adalah kanak-kanak kecil, kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu mengandung, kanak-kanak keperluan khas, dewasa dan wargatua. Semua aktiviti di bawah program ini telah dirangka dan dilaksanakan bagi memastikan hasil kesihatan mulut yang optimum.
i. Perkhidmatan Pergigian Toddler
Penjagaan Awal Kesihatan Pergigian diberi kepada kanak-kanak sejak lahir lagi. Objektif utama program kesihatan pergigian awal kanak-kanak adalah untuk menggalakkan dan mengekalkan kesihatan mulut yang baik ke arah mencapai pertumbuhan dan pembangunan optimum. Kanak-kanak yang diperiksa di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) dan Klinik Desa (KD) akan dirujuk ke Klinik Pergigian untuk mendapat pemeriksaan. Jururawat Pergigian akan memberi tunjukajar penjagaan kesihatan mulut kepada ibubapa/penjaga kanak-kanak ini.
ii. Perkhidmatan Pergigian Prasekolah
Di bawah aktiviti ini, kanak-kanak prasekolah akan didedahkan melalui aktiviti promosi dan pencegahan. Ini termasuklah ceramah, sesi memberus gigi, pertunjukan boneka, ‘roleplay’ dan lain-lain aktiviti yang menyeronokkan. Pemeriksaan dan rawatan pergigian akan dilaksanakan selepas aktiviti pencegahan dijalankan.
iii. Perkhidmatan Pergigian Sekolah
Perkhidmatan pergigian sekolah rendah, menengah serta pra-sekolah dilaksana melalui perkhidmatan pergigian sekolah secara incremental yang sistematik dan menyeluruh supaya matlamat kesihatan gigi kanak-kanak tercapai sepenuhnya. Murid sekolah akan diperiksa dan dirawat di sekolah masing-masing. Perkhidmatan pergigian sekolah adalah termasuk kanak-kanak keperluan khas yang terdapat di sekolah masing-masing
iv. Perkhidmatan Pergigian Ibu Mengandung
Matlamat utama aktiviti ini adalah untuk memberi pengetahuan kesihatan pergigian. Mereka diberi pemeriksaan dan rawatan pergigian secara percuma. Selain itu, ceramah juga dijalankan kepada kumpulan ini.
v. Perkhidmatan Pergigian Kepada Pesakit Luar
Hanya satu sahaja Klinik Pergigian yang terdapat di Labuan. Klinik ini terletak di tingkat satu bangunan Klinik Kesihatan Labuan. Perkhidmatan pergigian di Klinik Pergigian Labuan dibuka setiap hari bekerja untuk pemeriksaan pergigian, penskaleran, tampalan gigi dan juga cabutan gigi. Bagi rawatan lain seperti gigi palsu, rawatan salur akar gigi, pembedahan kecil bagi gigi geraham bongsu terimpak dan lain-lain keadnormalan dalam mulut akan dibuat secara temujanji.
vi Perkhidmatan Pergigian Untuk Golongan Keperluan Khas
Perkhidmatan dilaksanakan di semua Pusat Dalam Komuniti dan Pusat Mesra Komuniti yang terdapat di Labuan. Semua kanak-kanak ini diberi pemeriksaan dan rawatan setiap tahun. Selain itu, ceramah dan tunjukajar memberus gigi juga diberi kepada penjaga kanak-kanak ini.