Menu
 

OBJEKTIF

Memastikan semua keluaran farmaseutikal dan produk penjagaan kesihatan yang berada di pasaran adalah berkualiti, selamat, berkesan dan iklan ubat dan perkhidmatan perubatan mematuhi akta-akta dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dan juga meningkatkan kesedaran pengguna ke atas penggunaan ubat yang berdaftar.

 

AKTIVITI UTAMA

 

PELESENAN

Unit Pelesenan bertanggungjawab memproses Lesen Racun Jenis A/B/E dan Permit NaOH di bawah Akta Racun 1952.

 

PEMERIKSAAN

Pemeriksaan premis dijalankan bagi tujuan pengeluaran lesen racun ke atas premis farmasi dan premis yang mengendalikan bahan kimia terkawal bagi tujuan kegunaan industri. Ia dijalankan bagi memastikan kepatuhan setiap pemegang lesen terhadap syarat-syarat lesen racun di bawah Akta Racun 1952.

Pemeriksaan juga dijalankan ke atas premis berdaftar iaitu klinik-klinik dan hospital swasta bagi memastikan pengendalian racun dilaksanakan mengikut keperluan undang-undang dan tiada penjualan atau pembekalan racun berjadual oleh individu yang tidak berkelayakan. Selain itu, pemeriksaan premis tidak berlesen seperti kedai-kedai ubat tradisional Cina, Melayu dan India; kedai runcit, gerai-gerai, pasar malam, premis jualan langsung dan salun-salun kecantikan juga dijalankan bagi memastikan semua keluaran-keluaran kesihatan yang dijual atau dibekal adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan pengguna.

 

PEMERIKSAAN DI PINTU MASUK

Pemeriksaan terhadap pengimportan ubat-ubatan, kosmetik dan bahan kimia dijalankan oleh Cawangan-cawangan Penguatkuasa Farmasi W.P. Labuan di pintu masuk utama. Saringan pengimportan dijalankan bukan sahaja melalui kargo tetapi juga terhadap pengimportan sama ada di luar atau dalam Negara melalui pos atau agen kurier dan juga bagasi penumpang.

 

PERLINDUNGAN PENGGUNA

Unit Perlindungan Pengguna bertanggungjawab untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan penggunaan ubat-ubatan dan produk-produk farmaseutikal yang berkualiti dan selamat. Unit ini juga bertanggungjawab dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan risiko penggunaan ubat tradisional yang tidak berdaftar dan dicemarpalsu. Bagi tujuan itu, dua aktiviti utama iaitu pameran dan sesi ceramah dan dialog telah dijalankan di samping pelbagai program seperti pengedaran risalah serta kalender berinformasi kepada jabatan kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, peniaga dan pemegang lesen/permit.

 

KAWALAN IKLAN

Selaras dengan perkembangan teknologi, masyarakat kini boleh menerima maklumat melalui pelbagai sumber media massa. Pengiklanan pelbagai produk tidak berdaftar dan mengandungi bahan racun berjadual semakin banyak didapati dalam majalah-majalah, akhbar, televisyen, radio dan internet. Cawangan Penguatkuasa Farmasi berperanan memantau pengiklanan ubat dan barangan farmaseutikal selaras dengan peruntukan dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

 

RISIKAN DAN OPERASI

Unit ini bertanggungjawab menyiasat dan mengesahkan setiap aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai. Pengesahan aduan dibuat bagi memastikan maklumat adalah tepat dan sesuai untuk operasi serbuan.

Serbuan dilakukan ke atas premis perniagaan ubat tradisional, kedai ubat, kedai runcit, gerai-gerai dan salun kecantikan serta rumah kediaman yang didapati menjalankan penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar termasuk produk kesihatan dan kecantikan.

 

SIASATAN DAN PENDAKWAAN

Penyiasatan adalah satu proses mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh orang kena siasat (OKS) sehingga ke peringkat pendakwaan. Ia melibatkan pengumpulan maklumat yang relevan daripada agensi lain seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Perubatan Malaysia, Telekom Malaysia, Jabatan Polis, Jabatan Imigresen dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Hasil daripada penyiasatan yang menyeluruh, mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan akan didakwa di mahkamah mengikut kesalahan yang dilakukan. Pegawai farmasi yang dilantik menjadi pegawai pendakwa bertanggungjawab membawa kes ke mahkamah bagi membuktikan kes ke atas orang yang didakwa.




Tarikh Kemaskini : 3 Mac 2016
Go to top